Saturday, April 11, 2015




Oleh: Abdul Rahman Malik
 
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudahpun menggunakan hak demokrasinya untuk membidas, mencabar dan juga mempersoalkan halatuju pemerintahan negara.

Hak ini diakui dan diiktiraf oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak apabila beliau mengaku bersedia mendengar dan menghormati pandangan bekas presiden Umno itu -sama seperti hak setiap rakyat Malaysia yang lain.



“Saya tetap menghormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya menghormati semua rakyat Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang hendak mengkritik pentadbiran dan pimpinan saya,” kata Najib.

Cuma, pesannya dalam program Soal Jawab TV3 malam Jumaat lalu, kritikan itu harus dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab.

Walaupun pada satu sisi, Najib iktiraf hak seorang negarawan seperti Tun Mahathir untuk mengkritiknya. Namun adakah Tun Dr Mahathir melakukannya secara berhemah dan bertanggungjawab?

Suatu ketika dahulu apabila teguran, sindiran dan kritikannya terhadap pengganti beliau, Tun Abdullah Badawi, dilihatnya kalis begitu sahaja, Tun Mahathir nekad mengumumkan beliau keluar dari menjadi ahli Umno.

Namun kali tidak demikian. Tun Mahathir agak semakin asyik menggunakan media sosial, yang sewaktu beliau menjadi perdana menteri menjadi musuh utamanya, untuk ‘menyerang’ wibawa dan integriti kerajaan pimpinan Najib.

Lantas apabila melihat hampir semua komponen penting dalam Umno dan Barisan Nasional bangkit menyatakan kepercayaan dan sokongan kepada Najib, Tun Mahathir tetap tidak mahu beralah.

Malah, beliau mencabar pula penyokong-penyokong Najib berkenaan supaya menyatakan pendirian mereka berhubung isu hutang dan kedudukan kewangan projek 1MDB yang disyakinya ada disalahurus dan mungkin disalahguna kuasa.

Demikian cara Tun Mahathir menggunakan hak demokrasinya. Kuasa dan pengaruh media sosial dipergunakan sepenuhnya untuk menggugah keyakinan Najib dan kabinetnya serta menebar persepsi kurang baik di minda rakyat terhadap kepemimpinan Najib.


Pakatan Rakyat walaupun sudah dua pilihanraya umum berjaya menafikan BN majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat masih bersopan dan segan untuk menyatakan dengan yakin bahawa Umno dan BN akan tewas dalam PRU ke 14, jika Najib masih menjadi pemimpinnya.

Mungkin jika tidak kerana sudah terlalu banyak kutukan mereka terhadap Tun Mahathir yang sebelum ini dilabel dengan bermacam panggilan jelek, sudah tentu Pakatan Rakyat akan menjulang nama Tun Mahathir ke seluruh pelosok Malaysia sebagai wira politik baru.

Sudah tentu juga senario politik akan menjadi lebih menarik jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dipenjara ketika ini. Adakah Anwar akan mengakui dan meraikan kepimpinan Tun Dr Mahathir dalam melemahkan Umno-BN dan Najib?

Atau, adakah ini sebenarnya hemah politik Tun Mahathir yang memilih masa ketiadaan Anwar dalam dunia politik Malaysia hari ini untuk melakukan serangan terbuka terhadap Najib dan pada masa yang sama ‘menawan’ pihak pembangkang supaya menyokongnya?



Kempen Tun M mudahkan PR


Jika serangan Tun Mahathir ini berlarutan tidak mustahil ramalan Tun Mahathir bahawa Umno-BN akan tewas dalam PRU ke-14 akan jadi kenyataan!

Yang terkesima dengan strategi Tun Mahathir ini sudah dapat dilihat daripada reaksi Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar yang terikut-ikut jejak politik Tun Mahathir untuk memanfaatkan isu Sirul yang mencari ‘perlindungan’ di Australia.

Namun malang bagi Mahfuz, Sirul kemudian dengan jelas dan tegas, tidak mahu nasib beliau ditahan di pusat imigresen Australia itu diheret menjadi isu politik; tidak kira oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Isu pembunuhan Altantuya, 1MDB, BR1M, adalah hujah Tun Mahathir mengapa Najib wajar meletak jawatan. Namun dengan penuh hemah, beliau mencantumkan reputasi kenegarawanannya dengan teknologi media baru, untuk membina persepsi kurang nyaman terhadap Najib.

Lantaran hemah yang tinggi, Tun Mahathir kini berdayung bersama parti pembangkang untuk mengukuhkan persepsi sumbang terhadap Najib di mana pandangannya mudah ditukil dan disebarkan seluas mungkin di alam siber.

Maka Tun Mahathir tidak perlu berlakon untuk merajuk dan keluar Umno sekali lagi. Beliau sedar apabila menggunakan cara itu untuk 'memaksa' Tun Abdullah meletak jawatan, tiada ramai yang mengikut jejaknya.

Kali ini beliau tidak memerlukan bilangan ramai untuk menyatakan sokongan terhadapnya seperti strategi yang digunakan ketika dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 lalu.

Ketika itu, Tun Mahathir membariskan panglima-panglima politik seperti Anwar Ibrahim, Najib Razak, Rafidah Aziz, Abdul Rahim Thamby Chik untuk berhadapan dengan Musa Hitam, Rais Yatim, Abdullah Badawi.

Bagaimanapun keadaan sekarang jauh berbeza. Bertemankan sebuah laptop sahaja Tun Mahathir boleh menyebarluas ‘racun persepsi’ untuk meminggirkan Najib dari arena politik Malaysia.

Namun Najib tahu, apa yang dihadapinya adalah perang persepsi yang cuba dibina oleh Tun Mahathir kerana tidak mahu laksanakan projek 'jambatan bengkok' di Selat Johor.

“Saya kena hadapi zaman sekarang zaman persepsi bukan realiti. Dengan pengaruh media sosial yang begitu berleluasa. Macam dulu tiada media sosial. Zaman Tun Mahathir tiada media sosial.

“Zaman sekarang media sosial berperanan besar. Jadi, inilah satu yang kita terpaksa membuat pengubahsuaian dari pendekatan kita supaya menangani masalah persepsi,” kata Najib.

Beliau akur jika persepsi ini tidak ditangani, ia boleh menjadi realiti.

Wawasan 2020 adalah idea Tun Mahathir. Mungkin sebab itu, beliau sentiasa mencemburui apa sahaja cara dan pendekatan yang mungkin dilihatnya 'terkucil' daripada landasan wawasannya.

Cemburu bahawa wawasannya itu tidak menjadi realiti lima tahun lagi, memaksa Mahathir ‘menyerang’ halatuju negara, tidak kira siapa yang sedang mengemudinya.

Kemahiran membina persepsi umum serta pengalaman ‘menekan’ Tun Hussein Onn, Tun Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah meninggalkan jawatan politik mereka dan bersara awal, melonjakkan lagi reputasi Tun Mahathir sebagai panglima persepsi dalam politik Malaysia.

No comments:

Post a Comment