Kita semua lega bila Tun Mahathir menulis dalam Blog nya, mengesahkan bahawa beliau tidak mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bila menulis tentang dinasti dalam UMNO baru-baru ini.
Lega lah sebab Mahathir akan berada dalam kedudukan paling pelik kalau cuba mengaitkan Najib dalam tulisannya mengenai dinasti itu kerana kita tahu salah seorang anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyambung legasinya dalam politik - ketika beliau masih hidup, walaupun Mukhriz dilantik ketika Mahathir sudah bersara dari politik dan kerajaan.
Najib, seperti yang kita semua tahu hanya menceburkan diri dalam politik setelah ayahanda beliau, Tun Abdul Razak meninggal dunia akibat leukimia pada tahun 1976. Dengan itu tak siapa boleh mendakwa naiknya Najib dalam politik kerana pengaruh bapanya seperti mana yang mungkin orang melihat dalam soal perlantikan Mukhriz.
Betul atau tidak (pengaruh Mahathir dalam soal perlantikan Mukhriz) bukan isunya di sini, tapi persepsi umum. Lagipun tidak ada sebab untuk mempersoalkan Mukhriz kerana beliau memang terbukti layak kerana berjaya memimpin BN menawan semula Kedah dari PAS dalam PRU13 yang lalu.
Dinasti juga memainkan perana dalam perjalanan politik Mahathir.
Kalau nak diikutkan dari sejarahnya, Mahathir bukanlah pilihan utama Tun Hussein Onn (sepupu Tun Razak) untuk menjadi Timbalannya setelah Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri apabila Tun Razak meninggal dunia.
Bukan rahsia yang Tun Razak telah berpesan dengan Tun Hussein untuk melantik Mahathir sebagai Timbalan jika sesuatu berlaku kepada beliau (Tun Abdul Razak).
Ini sejarah dan fakta yang tidak boleh diketepikan oleh sesiapa malah terdapat dalam memoir dan penerbitan sejarah rasmi.
Sebab itu kita katakan lega kerana Mahathir berterus terang tidak mengaitkan Najib apabila bercakap tentang dinasti dalam UMNO. Kalau tidak, letih juga nak bersoal jawab dengan pembangkang yang mungkin menuduh Mahathir sebagai cakap tak serupa bikin.
Mungkin Datuk Puad Zarkashi yang membuat dakwaan itu (Mahathir kait Najib bila cakap pasal dinasti dalam UMNO), terkhilaf.
No comments:
Post a Comment