Semua ahli UMNO tertanya-tanya apakah motif TV3 sejak kebelakangan ini menyiarkan pandangan-pandangan pemimpin Pakatan Rakyat dan Pas yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Kita yang di luar ruang lingkup politik atasan tentulah tidak mengetahui apakah makna atau masalah kedua-dua pemimpin besar negara ini. Cuma apabila TV3 yang diketahui mesra kerajaan mula menyiarkan kenyataan-kenyataan sedemikian tentulah ia disebabkan konflik yang serius.
Mohd Najib Razak dianggap oleh banyak pemerhati politik sebagai pemimpin yang paling kurang daya juang, menggunakan politik lemah lembut dan jarang sekali memilih pertandingan atau pertikaian secara terbuka sesama dalam parti.
Sepanjang ranjau politik beliau Mohd Najib menyusur akar tanpa menganiaya rakan-rakan politik beliau secara semberono. Ketika pergaduhan Abdullah Ahmad Badawi dan Mahathir Mohamad pun, Najib Razak mengambil jalan tengah membiarkan kedua-duanya menyelesaikan pertikaian antara mereka.
Apabila didesak untuk menentang Abdullah dalam Pemilihan UMNO beliau tetap menolak walaupun sudah pasti menang selesa. Beliau mahu peralihan kuasa dijalankan secara harmoni dan dalam persaudaraan UMNO. Beliau hanya mengumumkan untuk bertanding Presiden UMNO apabila Abdullah mengumumkan persaraannya.
Justeru apabila TV3 yang diketahui rapat dengan kumpulan penasihat Najib Razak mula menyiarkan serangan-serangan ke atas Daim Zainuddin, ia bermakna ada sesuatu yang sangat serius telah dilakukan oleh Daim Zainuddin. Saya tidak fikir Najib Razak akan bertindak jika ia sekadar kritikan ke atas polisi-polisinya.
Adalah tidak masuk akal juga untuk mengatakan TV3 sekadar mengamalkan kebebasan media melaporkan apa yang dianggap nila berita.
Kita tidak perlu menipu diri, rentetan ke atas penyiaranan berita menyerang Daim merupakan satu tindak balas ke atas tindak tanduk bekas Menteri Kewangan itu.
Apakah benar gosip politik sejak beberapa bulan lalu bahawa Daim sudah merancang menjatuhkan Mohd Najib dengan apa kos sekalipun?
Melihat tindak balas TV3 dan beberapa saluran media sosial pro-Mohd Najib sejak kebelakangan ini, tentulah gosip ini sudah diterima sebagai satu bukti di kalangan penasihat Perdana Menteri.
Jika benar Daim sedang mengumpulkan kekuatan untuk menjatuhkan Najib, apakah kumpulan Najib tidak boleh bertindak balas mempertahankan kedudukan "boss" mereka.
Justeru untuk menghentikan segala peperangan politik dalaman UMNO ini ia harus bermula dari Daim Zainuddin sendiri.
Hentikanlah usaha untuk menekan, dan mungkin menjatuhkan Mohd Najib dengan membiayai kumpulan-kumpulan tertentu dalam politik dan media sosial.
No comments:
Post a Comment