Cadangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad agar semua rakyat membayar pada harga penuh bahan api seperti petrol dan diesel sebelum menuntut semula jumlah subsidi yang layak untuk mereka dari kerajaan, adalah satu cadangan yang wajib diberi perhatian.
Dalam keadaan sekarang, semua cadangan adalah baik dan perlu diberi penelitian sepenuhnya. Malah, penulis melihat cadangan ini lebih praktikal berbanding beberapa cadangan lain seperti kad diskaun, MyKad dan sebagainya yang banyak diperkatakan sebelum ini.
Perlu diakui, bukan mudah nak menukar sistem sedia ada sekarang kepada sistem baru, jadi bila cadangan seumpama ini dilontarkan oleh seorang negarawan seperti Mahathir, maka ia mempunyai merit yang memerlukan penelitian mendalam oleh pihak kerajaan.
Mungkin persoalan sama yang dibangkitkan ialah soal pemantauan dan pengawalan. Pada penulis masalah itu sudah selesai sekarang bila kerajaan berjaya mencipta pangkalan data untuk sistem BR1M yang boleh dipertingkatkan untuk tujuan pembayaran subsidi minyak pula.
Dalam masa yang sama, penulis melihat cadangan itu membawa maksud bahawa Mahathir mengakui pentadbiran hari ini menanggung subsidi yang sangat tinggi berbanding ketika beliau meninggalkan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Oktober 2003.
Pada tahun 2001, subsidi bahan api negara ini dianggar hanya berjumlah RM 1.1 billion berbanding RM 21 billion sekarang. Perbezaan yang besar ini banyak disumbangkan oleh harga minyak mentah pada ketika itu (sekitar USD 15/barrel) berbanding sekarang, sekitar USD70- USD75/barrel, selain penggunaan kenderaan pada ketika itu yang tidak sebanyak sekarang akibat peningkatan kualiti hidup.
Bercakap tentang itu, kalau tidak salah penulis, pada ketika sistem subsidi bahan api ini mula diperkenalkan pada tahun 1984, satu kampung hanya mempunyai satu kereta, berbanding sekarang satu rumah sahaja pun kadang-kadang ada 2-3 kereta.
Janganlah kata satu kampung lagi.
No comments:
Post a Comment