Friday, November 14, 2014

BR1M, Kebimbangan Mahathir Ada Asas Tapi...


Tun Mahathir Mohamad mempunyai asas beliau tersendiri apabila mempersoalkan sistem BR1M yang diperkenalkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.  

Bagaimanapun, tanpa Mahathir sedari, BR1M sebenarnya tidak banyak beza dengan subsidi minyak, gula, tepung dan sebagainya yang diperkenalkan pada zaman beliau - cuma bezanya kali ini, ia ditukar kepada bentuk tunai untuk golongan sasar yang layak.

Senang kata, duit kerajaan juga, cuma dulu 'wang' ini diterima semua rakyat dalam bentuk subsidi barangan, sekarang wang yang sama (tapi jumlah yang lebih rendah dan terarah) dibayar secara tunai mengikut kelayakan yang ditetapkan.

Perubahan pada corak pengagihan - dari bentuk subsidi dalam bentuk barangan kepada wang tunai ini, membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan berikutan jumlah subsidi yang semakin meningkat setiap tahun berbanding dulu.

Ini ada logiknya kerana kualiti hidup yang meningkat di Malaysia telah menyebabkan semakin ramai orang berkemampuan berbanding pada masa dahulu.  Jangan kata itu, rakyat Malaysia juga semakin meningkat dari 15 juta ketika Mahathir mula-mula memerintah, kepada 30 juta sekarang.

Tak campur pendatang asing dengan izin dan tanpa izin yang turut menikmati subsidi barangan yang sama.  Kalau petrol boleh kawal dari nombor plat kenderaan, tepung dan susu umpamanya, nak kawal dengan apa?

Semua inilah yang memaksa kerajaan dibawah pentadbiran Najib membuat perubahan bersesuaian agar kerajaan tidak berterusan menampung subsidi yang tinggi dan dalam masa yang sama, golongan sasar juga menerima hasil penjimatan ini melalui pemberian BR1M.

Itu penjelasan yang pertama.

Penjelasan yang kedua, BR1M tidak sama seperti skim elaun pencari kerja (penggangurlah tu) yang diberikan oleh beberapa negara maju seperti Jerman dan Britain.  BR1M hanya menumpukan kepada golongan sasar yang rekod kewangan mereka telah disahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai penerima yang layak.

Dari pembayaran setahun sekali ketika mula-mula diperkenalkan, skim BR1M sudah mencapai tahap dimana pembayaran perlu dibuat pada kadar 3 kali setahun - juga dengan alasan ekonomi bukan main hentam keromo.

BR1M juga tidak langsung berkaitan dengan produktiviti seperti mana yang terdapat dalam kebimbangan Mahathir kerana wang ini hasil penjimatan kerajaan dari pengurangan subsidi yang diberikan kepada semua rakyat sebelumnya.

Ia tidak mengambil dari sumber lain sehingga nak dikaitkan dengan produktiviti tapi semata-mata dari penjimatan subsidi yang dikurang/dihapuskan dari masa ke semasa.

Kesimpulannya, Mahathir perlu menerima hakikat bahawa setiap pentadbir mempunyai gaya pentadbiran yang berbeza, Najib juga tidak terkecuali. 

BR1M telah berjaya mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi yang dulunya mencecah 54% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada hanya 10% pada tahun lepas.  Bukankah itu satu kejayaan yang perlu diraikan, bukan dikritik dan dihentam?

No comments:

Post a Comment