Saturday, November 22, 2014

Penghapusan Subsidi: Langkah Berani, Risiko Tinggi

KEPUTUSAN kerajaan untuk menghapuskan subsidi minyak yang mula diperkenalkan pada tahun 1983, adalah satu keputusan yang berani tapi penuh dengan risiko.

Sementara keputusan ini boleh mendidik rakyat untuk menerima mekanisme baru minyak yang diperkenalkan kerajaan, dalam masa yang sama ia turut boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan terutama bila berlaku kenaikan harga minyak yang tinggi nanti.

Asas kepada kebimbangan ini ada kerana negara-negara OPEC akan bermesyuarat minggu depan untuk menentukan kaedah bagaimana nak memastikan harga minyak tidak terus turun seperti sekarang.  Antara lain ialah mengurangkan bekalan yang kita bimbang boleh menyebabkan kenaikan harga yang tinggi.


Sebagai komoditi yang didagangkan di pasaran dunia, negara ini tidak ada pilihan melainkan mengikut ketetapan yang akan dibuat OPEC nanti.

Negara-negara OPEC bergantung sepenuhnya kepada harga minyak dunia kerana dari situlah mereka menjana pendapatan untuk negara masing-masing.  Kepentingan negara-negara ini sudah tentu mengatasi yang lain, paling tidak mereka tidak mahu rugi kalau harga minyak dunia terus turun.

Kerajaan bagaimanapun penulis yakin sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dari perkembangan-perkembangan ini.  

Walaupun pengeluaran minyak semasa negara tidak cukup untuk memenuhi keperluan domestik, tapi hubungan baik dengan negara-negara pengeluar yang lain sudah cukup untuk meletakkan negara kita dalam keadaan bersiap sedia.


Selain negara-negara kaya minyak di Timur Tengah, penulis difahamkan kerajaan turut memperolehi bekalan minyak mentah dari negara pengeluar besar lain seperti Russia.

Bagaimanapun, untuk mengelak manipulasi oleh negara-negara OPEC, penulis mencadangkan semua negara-negara pengeluar minyal dunia tapi tidak layak untuk menganggotai OPEC bergabung dalam satu pertubuhan baru bagi mengimbangi keadaan.

Penentuan harga minyak ini tidak boleh selamanya diserahkan kepada 12-15 negara sahaja, perlu ada perubahan dan pendekatan baru.

No comments:

Post a Comment