Sunday, November 16, 2014

Salah Faham Tentang BR1M Hanya Pada Yang Tak Dapat

Penulis tidak begitu bimbang dengan pelbagai salah faham tentang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang disebarkan beberapa pihak lanjutan dari teguran-teguran yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Hakikatnya pandangan Mahathir lebih kepada kebimbangan akan wujud kesan dari pemberian BR1M terhadap ekonomi dan produktiviti (tak berkaitan) negara, sedangkan tukang tambah yang terkemudian, membayangkan bahawa BR1M adalah satu skim yang tidak baik.

Ada 7 juta penerima BR1M di seluruh negara sekarang, setakat ini tak seorang pun yang mengeluh bila dapat wang itu. Kalau tak kita sudah mendengar penubuhan NGO dengan nama seperti Gerakan Anti BR1M dan yang seperti itu, tapi tidak ada.

Penulis akui, masa subsidi minyak dikurangkan 20 sen/liter bulan lepas, ada yang mendakwa di Terengganu sebagai penerima BR1M mahu bantuan ini dihapuskan dan harga minyak kekal rendah sebab harga barang juga akan murah katanya.

Tapi identiti mereka ini tak dapat disahkan selain belum tentu harga barang akan turun bila harga minyak turun. Sejak ambil alih jawatan pada 2009, Perdana Menteri telah turunkan harga minyak 4 kali, harga barang macam itu juga.

Majoriti yang banyak buat bising ini penulis perhatikan ialah terdiri dari mereka yang tak dapat, bukan yang dapat. Yang dapat nampak tak komen apa pun.

Subsidi dalam bentuk pengurangan pada harga barangan tertentu ini sudah tidak relevan lagi buat masa sekarang kerana  berbeza dengan dulu, negara kita semakin ramai dihuni orang asing, hampir 6 juta orang.

Kalau ada permit, berbaloilah sebab mereka bayar levi, yang tak de permit ni, mereka inilah mengambil apa yang sepatutnya menjadi hak rakyat kita.

Perkara ini tak boleh nak dielakkan kerana selain kelemahan penguatkuasaan, majikan di negara ini pun lebih gemar menggunakan khidmat pekerja asing antara lain kerana lebih murah selain tenaga kerja tempatan yang kurang minat nak buat kerja-kerja yang berat dan 'kurang standard'.

Itu bagaimana pun bahan untuk tulisan akan datang, yang penting sekarang, Perdana Menteri sedang menghadapi masalah itu dan beliau perlu mengambil tindakan segera untuk membendungnya dan BR1M adalah jalan terbaik kerana semua penerima BR1M adalah rakyat negara ini, tidak ada rakyat asing.

No comments:

Post a Comment