Monday, September 28, 2015

Skandal, Salah Guna Kuasa Regim Mahathir, Lebih Memalukan Malaysia


Memang dijangka Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengulang semula cerita yang dikitar semula, yang telah dijawab dan yang telah basi. Kenyataannya ini akan di’spin’ untuk beberapa hari dan tidak lama selepas ini dia akan mengulang lagi perkara yang sama.

Tun M memulakan postingnya dengan angkuh, mendakwa dia “telah bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia,” tetapi sekarang dia “mahu dia (Najib) disingkirkan, meletak jawatan daripada menjadi Perdana Menteri.” Seperti yang disebut oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, dakwaan ini tidak benar kerana ahli UMNO dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah memilih untuk menaikkan Najib sebagai Presiden parti dan rakyat Malaysia yang kemudiannya memberi mandat kepada BN untuk terus menjadi kerajaan dan ini membolehkan Najib menjadi Perdana Menteri.
 

Tun M menuduh Najib gagal membangunkan negara. Mungkin Tun M lupa, Najib mengambil alih kerajaan di saat negara berhadapan krisis ekonomi global, kesan krisis kewangan yang bermula sejak tahun 1998 dan krisis politik yang sedikit sebanyak berpunca daripada Tun M. Tun M lupa Tun Abdullah pernah menegaskan bahawa negara boleh bangkrap jika beliau mengikut cakap Tun M. Ini kerana negara belum pulih sepenuhnya dari kesan krisis matawang tahun 1998 sehingga kerajaan perlu mengemukakan belanjawan defisit bagi menyokong semula ekonomi dan pembangunan negara.

Sebaik Najib mengambil alih, mungkin Tun M tidak sedar, ekonomi negara bertumbuh dengan begitu baik dan stabil sehingga hari ini. Matawang negara juga mengukuh terhadap Dollar AS sepanjang tahun 2009 sehingga penghujung 2014 dan defisit fiskal negara semakin menurun dari setahun ke setahun.

Selepas Najib mengambil alih kepimpinan negara, kadar pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2009 (-1.5%), 2010 (7.4%), 2011 (5.2%), 2012 (5.6%), 2013 (4.7%), 2014 (6.0%). dan 2015 (4.9% - suku kedua 2015). Secara perbandingan antara negara bagi suku kedua pula, kadar pertumbuhan ekonomi AS adalah pada 2.7%, China 7%, Jepun 0.7%, Thailand 2.8%, Indonesia 4.67%, Australia 2%, New Zealand 2.6%, Korea Selatan 2.2%, India 7%, Filipina 5.6%, Italy 0.7%, Jerman 1.6% dan Singapura 1.8%.

Tun M mengaitkan Najib dengan kejatuhan nilai ringgit. Mungkin Tun M tidak sedar, jika pergerakan nilai ringgit sejak Januari 2009 dianalisis (Rajah 1), nilai ringgit ketika itu adalah RM3.70 kepada 1 Dollar Amerika (AS$). Pada Januari 2010, nilai ringgit meningkat kepada RM3.30. Peningkatan nilai ringgit hampir mencecah RM2.90 pada Julai 2012 dan nilai ini turun naik di antara RM3.20 ke RM2.95 sepanjang tempoh Januari 2012 sehingga Julai 2014, sebelum turun kepada RM3.20 pada penghujung tahun 2014 seterusnya kepada RM3.70 pada Mac 2015. Sejak tahun 2009 sehingga hujung tahun 2014, nilai ringgit meningkat kukuh berbanding AS$, tetapi ketika nilai ringgit naik, kenapa Tun M tidak pernah mengaitkannya dengan Najib?

Hakikatnya bukan sahaja ringgit jatuh tetapi matawang lain juga turut jatuh. Dollar Australia antara yang jatuh teruk. Nilai Ringgit pernah meningkat 6% dan Dollar Australia pula pernah meningkat 7% terhadap Dollar AS. Bagaimanapun sehingga pertengahan bulan Ogos, Ringgit telah mengalami penurunan sebanyak 13.33%, Rupiah Indonesia 9.88%, Won Korea Selatan 8.35%, Baht Thailand 6.99% dan Dollar Australia pula lebih 20%.

Kenapa nilai matawang kebanyakan negara jatuh? TIGA faktor paling utama, PERTAMA, spekulasi peningkatan kadar faedah AS, KEDUA, harga minyak mentah dan komoditi yang rendah dan KETIGA, nilai Yuan China menurun. Matawang negara-negara Asia jatuh berikutan penurunan nilai matawang oleh China yang dikatakan sengaja dilemahkan bagi meningkatkan kembali pertumbuhan ekonomi negara tersebut. Dijangka China akan menurunkan nilai Yuan sehingga 10%. Ketika ini, penurunan Yuan baru sekitar 4.61 %. Harga minyak mentah global, Brent yang turun sehingga 29% sejak bulan Mei memberi kesan kepada Malaysia yang sejumlah pendapatannya datang dari sumber minyak. Pengeksport komoditi lain seperti Australia, Kanada dan New Zealand juga mengalami kemerosotan kerana kebanyakan komoditi diniagakan menggunakan Dollar AS. Seperti Malaysia, Australia juga turut terjejas dengan penurunan Yuan kerana jumlah eksportnya yang tinggi ke China.

Tun M mengaitkan Najib dengan penyusutan harga saham. Mungkin Tun M tidak sedar, harga saham global juga mengalami penyusutan. Selain Bursa Saham Kuala Lumpur, pasaran saham di seluruh rantau ini juga jatuh dengan Indeks Komposit Jakarta mendahului dengan kejatuhan 3.1 peratus diikuti oleh Indeks Hang Seng Hong Kong yang turun 2.38 peratus. Analisis Indeks MSCI ke atas pasaran saham dunia sejak Januari sehingga Ogos 2015, menunjukkan penurunan global pasaran saham (dalam Dollar AS) sebanyak - 6.7%, 'Emerging Markets' (-16.7%), AS (-5.0%) dan UK (-9.7%). China mengalami penurunan sebanyak -15.0%, Korea Selatan (-14.1%), Taiwan (-14.7%), Australia (-19.7%), Singapura (-21.5%), Malaysia (-26.0%), Indonesia (27.3%), Germany (-6.4%) dan Sweden (-6.3%)


Tun M cuba mengaitkan kos sara hidup yang kononnya meningkat selepas pelaksanaan GST. Jika dakwaan Tun M ini benar, sudah pasti rakyat di negara lain yang mempunyai kadar GST yang lebih tinggi akan jauh lebih terbeban. Kadar GST di Malaysia hanya 6%, sedangkan di Thailand (7%), Indonesia (10%), Singapura (7%), Korea Selatan (10%), India (12.36%), China (17%), Australia (10%) dan New Zealand (15%). Hakikatnya, dari segi Indeks Kos Sara Hidup, sehingga pertengahan tahun 2015, kedudukan Malaysia adalah di tangga 94, bermaksud kos sara hidup di Malaysia masih lebih rendah berbanding 93 buah negara lain di dunia. Berdasarkan Indeks Kos Sara Hidup Expatistan pula, kos sara hidup di KL hampir sama dengan Jakarta, lebih rendah 4% daripada di Manila, 6% lebih rendah daripada Bangkok dan 56% lebih rendah daripada Singapura.

Seterusnya Tun M mengulangi tuduhan lapuk yang dikitar semula mengenai 1MDB. Cuma bezanya kali ini Tun M tidak lagi berani mengatakan RM42 bilion lesap sebaliknya mengatakan hanya RM20 bilion lesap. Kali ini Tun M tidak lagi menyebut kadar faedah adalah hampir 7%, sebaliknya sudah menukarnya kepada hanya 5.9%. Tun M masih menuduh Goldman Sachs menerima komisen sebanyak 10%. Bagaimanapun sehingga hari ini, dia masih gagal memberikan sebarang bukti bahawa Goldman Sachs menerimen komisen sebanyak itu. Tun M juga gagal memberikan sebarang bukti ke mana duit pelaburan PetroSaudi lesap, melainkan hanya mengulangi dakwaan ia mungkin dilesapkan untuk anak tiri, isteri, perkahwinan anak Najib dan dimasukkan ke dalam akaun Najib. Cuma kali ini Tun M lagi tidak menyebut tentang Jho Low dan Paris Hilton. Tun M mengulangi tuduhan ini tanpa bukti dan tanpa menjelaskan mengenai sumber dana yang dikatakan lesap dan dimasukkan ke dalam akaun Najib, sama ada ia dari PetroSaudi atau dari negara Timur Tengah yang lain.

Tun M menuduh kononnya 1MDB membeli loji kuasa elektrik pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran, tanpa dapat memberikan nilai sebenar loji kuasa tersebut dan gagal membezakan di antara pembelian stesen janakuasa dengan pembelian syarikat pembekal kuasa (IPP). Bezanya kali ini, Tun M tidak lagi berani menyebut mengenai soal lesen yang hampir tamat.

Tun M juga tidak berpuas harti apabila 1MDB membeli tanah pada harga yang murah. Mahal salah, murah pun salah. Cuma kali ini, Tun M menyebut harga pasaran hanya RM3,000 dan bukan lagi RM7,000. Tun M membuat dakwaan ini tanpa menjelaskan bahawa 1MDB perlu mengalihkan aset, bangunan dan penempatan, membina semula kemudahan tersebut di kawasan yang lain, membayar pampasan, membuat kerja tanah dan membangunkan infrastruktur di tapak tersebut. Semua itu memakan kos sekurang-kurangnya RM1,500 sekaki persegi. Ini tidak termasuk kos akibat faktor masa kerana perlu membangunkan terlebih dahulu 8 kemudahan baru untuk tentera dan polis, sebelum boleh merobohkan aset di Sungai Besi dan memulakan kerja tanah untuk Bandar Malaysia.
 
Tun M juga membuat kesalahan fakta apabila mengatakan bahawa “satu-satunya aset yang dipunyai oleh 1MDB sekarang adalah loji kuasa dan tanah di Kuala Lumpur,” sedangkan hakikatnya 1MDB masih mempunyai tanah di Pulau Pinang dan Selangor, serta mempunyai asset kewangan yang disahkan kewujudannya dalam penyata akaun diaudit 1MDB dan telah disemak oleh Ketua Audit Negara.

Tun M terus membuat kesalahan fakta apabila menyebut “Najib tidak dapat membuktikan bahawa orang Arab itu telah memberinya wang.”  Hakikatnya, SPRM telah mengesahkan bahawa wang tersebut dari sumber derma dan terdapat empat surat berkaitannya. SPRM juga memaklumkan bahawa mereka telah menghubungi penyumbang tersebut. Pada waktu yang sama, Tun M sekadar membuat tuduhan liar bahawa derma tersebut adalah untuk UMNO, tanpa memberikan bukti atau dapat bertanya sendiri kepada penderma dan mengesahkan samada sumbangan tersebut memang benar-benar untuk UMNO atau untuk membantu Najib. Tun M juga gagal  menjelaskan bahawa selama ini dana, saham dan aset UMNO pernah dipegang oleh individu atau proksi, sehingga menyebabkan ia sukar dikesan dan hilang begitu sahaja.

Walaupun kes pembunuhan Altantuya dibicarakan selama 9 tahun dan Razak Baginda mengesahkan hubungannya dengan Altantuya, Tun M tanpa malu, cuba mengaitkan pembunuhan ini dengan Najib. Secara tiba-tiba Tun M sudah mempercayai media asing yang merupakan musuh yang tidak dipercayainya selama 22 tahun pemerintahannya. Kata Tun M, “ia telah menjadi satu skandal antarabangsa. Ia telah memalukan Malaysia.” Mungkin Tun M lupa bahawa selama ini, dia lebih banyak disebut oleh media asing, bukan sahaja berkaitan pelbagai skandal ekonomi, kapitalisme kroni dan bail-outs tetapi juga berkaitan tindakannya ke atas Anwar Ibrahim, penahanan musuh-musuh politiknya dan pembunuhan di Memali. Mungkin Tun M tidak malu, tetapi ramai juga di kalangan rakyat Malaysia yang malu dengan tindakan-tindakannya yang dilaporkan media sepanjang tempoh pemerintahannya.

Antara tajuk yang pernah mencemar nama baik Malaysia melibatkan Tun M adalah:-
“Rescue Plan for Perwaja Carries a Hefty Price Tag,” WSJ, December 31, 1996
 “MISC to Pay $220 Million Price For Assets From Mahathir's Son,” WSJ, May 1, 1998
 “Malaysia: Turning A Cash Cow Into A Beast Of Burden (Int'l Edition),” Businessweek, August 15, 1999
 “Privatisation and Bailouts in Malaysia: The truth about privatization,” Aliran Monthly, Volume 25, issue 6 2005
 “We encourage Mahathir’s evil,” Free Malaysia Today, September 13, 2013
 “Malaysia Reins In Opposition,” Washington Post, August 12, 2001
 “Malaysia's ex-PM Badawi hits out at predecessor,” Jakarta Post, August 9, 2013
 “Mahathir’s Disastrous Financial Speculation,” Asia Sentinel, March 5, 2012

Ini belum pelbagai dakwaan lain, termasuk laporan bahawa Tun M membazirkan dan mengakibatkan negara kerugian RM100 bilion seperti yang didakwa oleh Barry Wain, dalam buku "Malaysian Maverick – Mahathir Mohamad in Turbulent Times."
Jika Tun M bercakap benar dan berdasarkan fakta, Tun M sudah tentu sedar bahawa menjatuhkan Najib TIDAK AKAN memulihkan ekonomi Malaysia SECARA DRASTIK. Najib dan 1MDB TIDAK ADA di negara-negara yang disebutkan tadi tetapi pertumbuhan ekonomi di negara-negara tersebut tetap merosot, nilai matawang dan indeks saham juga terus jatuh, kos sara hidup dan kadar GST lebih tinggi, hutang negara jauh lebih banyak dan kadar pengangguran juga jauh lebih tinggi.
Bolehkah Tun M memberi jaminan bahawa penyingkiran Najib dapat memaksa AS menghentikan rancangan untuk menaikkan kadar faedah, meningkatkan harga minyak mentah dan komoditi dunia dan memaksa China meningkatkan nilai Yuan? Jika ia tidak mampu menterbalikkan kesan TIGA faktor utama kejatuhan matawang ini, maka menjatuhkan Najib untuk pemulihan ringgit dan ekonomi segera hanya AUTA dan PEMBOHONGAN Tun M semata-mata. Adakah Tun M begitu terdesak kerana rancangan untuk menggulingkan dan menjenayahkan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak bulan Mac masih belum menjadi kenyataan?

No comments:

Post a Comment