"Saya tidak pernah didesak letak jawatan sepanjang jadi Perdana Menteri", itu kenyataan yang didakwa diungkapkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad seperti dipetik The Edge baru-baru ini.
Tak pasti sama ada beliau disalah petik atau sudah nyanyuk dengan berkata begitu.
Hakikatnya, sepanjang 22 tahun memerintah, Mahathir adalah Perdana Menteri yang paling banyak menerima desakan untuk meletakkan jawatan. Wajar atau tidak desakan itu bukan isu, tapi kalau dikatakan Mahathir tak pernah didesak meletakkan jawatan, itu tipu.
Ada banyak kejadian yang membawa kepada desakan untuk Mahathir meletakkan jawatan. Antara yang boleh penulis senaraikan disini ialah kejadian di Memali 1985, pemilihan Presiden UMNO 1987, pengharaman UMNO 1988, kerugian Bank Negara dalam urusan matawang, Perwaja, pemecatan Anwar dan beberapa insiden lain.
Kalau disingkap lebih lama, Mahathir juga pernah didesak meletak jawatan berikutan skandal pembelian 88 pesawat pejuang terpakai dari jenis Skyhawk awal 80-an dulu. Ia menjadi skandal kerana dari 88 yang dibeli, hanya separuh sahaja yang boleh digunakan, itupun banyak masalah teknikal dan menyebabkan ramai juruterbang TUDM hilang atau terbunuh dalam kemalangan.
Walaupun proses pembelian itu bermula dari zaman Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, tapi ia hanya menjadi kenyataan pada zaman Mahathir.
Jadi tak betul kalau dikatakan Mahathir tak pernah didesak letak jawatan, mungkin beliau hanya berseloroh dan media pro pembangkang, The Edge yang mendengar mengambil bulat-bulat kenyataan itu untuk tujuan melagakan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Yang penting untuk rakyat tahu, bukan luar biasa jika seorang Perdana Menteri didesak meletakkan jawatan. Mengikut rekodnya, semua Perdana Menteri negara ini pernah didesak untuk meletakkan jawatan.
Isunya sekarang sama ada desakan itu wajar atau tidak, itu sahaja.
No comments:
Post a Comment