Monday, March 9, 2015

Dimana Silap Sehingga Denggi Semakin Menggila?


Hari ini kes-kes demam denggi semakin lama semakin membimbangkan.  Di Selangor umpamanya, toleh kemana pun hampir ada sahaja kes-kes demam denggi, katil-katil hospital penuh dengan pesakit sehingga ada yang disuruh balik  duduk di rumah sahaja kerana tiada tempat kosong.

Sementara kita faham peningkatan kes denggi di Selangor dan negeri-negeri pembangkang yang lain secara amnya adalah disebabkan ketidakpekaan kerajaan negeri terbabit dalam soal penyelengaraan kebersihan yang sistematik, tapi alasan itu sahaja tidak cukup untuk menghilangkan kebimbangan rakyat akan peningkatan penyakit ini.

Kes denggi dilihat begitu membimbangkan tahun ini, melihat kepada jumlah kematian yang meningkat hampir 3 kali ganda dalam tempoh sama berbanding tahun lepas.  Pada tahun 2014, hanya 25 orang sahaja meninggal dunia bagi tempoh 2 bulan pertama tahun tersebut berbanding sekarang, 62 orang!!

Persoalannya sekarang, peningkatan kes kematian yang diakibatkan oleh demam denggi ini seolah-olah  memberi gambaran tidak ada apa yang dilakukan untuk mengatasi wabak tersebut.

Sedangkan di peringkat negara, kita ada Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam untuk menangani masalah denggi dari segala aspek dan lokaliti.

Tidak kira negeri pembangkang atau tidak.

Boleh dipersoalkan keupayaan jawatankuasa ini dalam mengatasi kes demam denggi berikutan peratusan kes melibatkan penyakit tersebut yang semakin tinggi dari hari ke hari.  Malah baru-baru ini rakyat diberitahu bahawa virus baru denggi bukan sahaja boleh menyebabkan demam tapi kerosakan pada organ seperti otak dan hati!!  

Jika tahap kebersihan yang menjadi antara punca pembiakan nyamuk Aedes mungkin berada di luar kawalan jawatankuasa yang berkenaan kerana berada dibawah bidang kuasa kerajaan negeri, bagaimana dengan perkara-perkara lain yang boleh membantu kepada mencegah penularan penyakit tersebut?

Antaranya, kita sering mendengar banyak tentang vaksin untuk mencegah denggi sehingga kepada penggunaan cat yang boleh membunuh nyamuk Aedes, tapi semua ini hanyalah teori sahaja setakat ini, tidak ada satu pun yang benar-benar yang boleh mengurangkan kes demam tersebut.

Bercakap tentang vaksin, ujian klinikal bagi vaksin yang dihasilkan para penyelidik Malaysia akan hanya boleh dilakukan pada tahun 2016, tapi kita juga tahu sekarang yang negara Perancis sudah menghasilkan vaksin denggi yang siap sedia untuk digunakan!!  

Kenapa tidak awal-awal lagi vaksin ini dibawa masuk ke Malaysia?  Nak tunggu berapa ramai lagi mati baru nak bertindak?

Ini yang buat rakyat tak faham dan anenya tidak ada penjelasan diberikan jawatankuasa yang berkenaan kenapa vaksin yang lama tersedia itu tidak dibawa ke negara ini?

Kalau alasannya semua faktor yang menyebabkan denggi berada di luar kawalan, maka sebaiknya dimansuhkan sahaja jawatankuasa yang berkenaan dan serahkan segalanya kepada takdir.  Jawatankuasa ada pun tak guna kalau kes demam denggi dan kematian yang diakibatkan olehnya meningkat berkali ganda.

Atau mungkin ini ada kena mengena dengan orang yang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan?  Jawatankuasa bencana peringkat kebangsaan yang dipengerusikan beliau pun turut gagal berfungsi dengan baik seperti mana dalam bah besar yang melanda negara kita hujung tahun lepas.

Segala persiapan, perancangan dan pengalaman untuk menghadapi bencana banjir ini seolah-olah tidak wujud bila masih berlaku banyak masalah sehingga melibatkan kehilangan nyawa.  Hanya setelah Perdana Menteri masuk campur, setelah memendekkan cuti dari Hawaii, barulah semuanya menjadi teratur semula

Jika perlu diganti, gantikanlah sahaja dia.

No comments:

Post a Comment