Monday, January 11, 2016

Riyani Air: Masyarakat Bidas Kenyataan Tun Mahathir



Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi dibidas berhubung kenyataan yang mempertikaikan pendekatan syariah yang diperkenalkan oleh syarikat penerbangan Riyani Air.

Hasil tinjauan yang dilakukan, rata-rata menyifatkan kenyataan Tun tidak relevan sebagai seorang muslim kerana pendekatan Riyani selari dengan tuntutan agama.


Menurut Nor Asnita, sebagai seorang Islam Tun seharusnya menyokong sebarang pendekatan yang ingin memartabatkan Islam dan bukan sebaliknya.

“Kita nak bawa agama Islam, ikut cara Islamlah, sebab nama pun Rayani air, nama pun dah Islam, jadi kita bawalah dengan cara Islam.

"Tak salah pun, kita nak tunjuk dekat semua agama yang cara Islam ini bagaimana," katanya kepada salah sebuah portal.

Tun Mahathir sebelum ini mendakwa, konsep patuh syariah yang diperkenalkan Rayani Air hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam.

Menurutnya syarikat penerbangan Malaysian Airline System Bhd (MAS) tidak perlu mengikut jejak langkah penerbangan itu yang memperkenalkan konsep tersebut.

Sementara itu menurut Mahira Mustafa, pemakaian cara Islam yang diperkenalkan oleh Riyani Air boleh berjaya berbanding perkhidmatan penerbangan lain yang tidak mencerminkan agama Islam.

“Kita cuma mengikut garis panduan yang boleh kita ikut dan kita boleh berjaya.

"Saya akan memberikan sokongan kepada garis panduan yang diaplikasikan oleh syarikat penerbangan ini. Ia sejajar dengan tuntutan agama Islam yang mewajibkan umat Islam menutup aurat,” ujarnya.


Terdahulu pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, usaha murni mana-mana syarikat bukan Islam yang beroperasi dengan berlandaskan syiar tidak boleh disalah erti dengan dakwaan mencari keuntungan dengan nama agama.

"Tun M tidak boleh mendakwa konsep patuh syariah yang diperkenalkan Rayani Air hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam.

"Jika dakwaan Rayani Air mencari keuntungan dari Islam menjadi alasan, Tun M perlu faham dia sendiri tidak boleh menghentam operasi syarikat itu yang jelas menyokong ajaran Islam. Tidak kira apa agama atau siapa pemilik Rayani Air, usahanya itu harus diberi pujian dan bukan sebaliknya," katanya baru-baru ini.
 
Menurut Md Daud lagi, Dr Mahathir perlu merujuk kisah sedih luahan hati pramugari MAS yang terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung.

"Sekurang-kurangnya Rayani Air jelas tidak menghidangkan arak selain membaca doa sebelum memulakan penerbangan.

"Pengurus Rayani Air beragama Islam. Adakah kerana pemiliknya bukan Islam jadi syarikat penerbangan itu boleh didakwa dengan sesuka hati?" ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment