Monday, August 31, 2015

Mahathir Dan Politik Ular Menyusur Akar

 
 
Menghairankan-kah apabila mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad tiba-tiba muncul memberi sokongan kepada Perhimpunan haram Bersih 4 menjelang maghrib Sabtu, 29 Ogos lalu?
 
Bagaimanakah seorang pemimpin yang garang dan bengis terhadap demonstrasi jalanan yang dianjurkan penyokong-penyokong bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998 lalu boleh menyokong demonstrasi seperti Bersih?
 
Mengapakah selepas 17 tahun Mahathir beralih pandangan dan mengakui bahawa demonstrasi jalanan sebenarnya adalah kuasa rakyat yang “sah” dan “halal” di segi semangatnya untuk menentang kezaliman dan salahguna kuasa.
 
Bagi pengamat lagak dan silat politik Mahathir, tindakannya itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Itu memang cara Mahathir berpolitik. Beliau berani menongkah arus dan mengubah haluan politiknya demi terus menjadi ketua.
 
Ketika melalui jalan paling kelamnya dalam politiknya apabila “tersalah langkah” dan “menghukum” Anwar kerana tidak mahu tunduk pada pemikirannya, Mahathir bingkas menjalin hubungan politik dengan entiti politik lain.
 
Meskipun terpaksa mengalami banyak tohmahan dan kebencian dari kalangan orang Melayu yang bersimpati dengan nasib politik Anwar, Mahathir cepat menjalin hubungan lebih mesra dengan kelompok politik bukan Melayu.
 
Sungguhpun “berasa pedih” akan hukuman orang Melayu terhadapnya dalam pilihanraya umum 1999, di mana Umno pimpinannya kecundang di Kelantan dan Terengganu dan hampir rebah di Kedah, Mahathir terus cenderung mendapatkan sokongan bukan Melayu.
 
Yang utama, beliau memperkenalkan sistem Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini adalah hadiah kemenangan terbesar bagi bukan Melayu yang masih terus kekok dan Bahasa Malaysia.
 
Malah langkah ini dilihat amat pragmatik kerana ibubapa murid bukan Melayu sentiasa yakin bahawa nilai ekonomi bahasa Inggeris adalah lebih di mata antarabangsa.
 
Kebetulan pejuang tegar memartabatkan bahasa Melayu ialah Anwar. Mahathir tidak lupabahawa Anwar dan kawan-kawannya pernah mengusung keranda melambangkan kematian Bahasa Melayu kerana bahasa Inggeris lebih diutamakan.
 
Sebagai ahli politik yang tidak kurang gesitnya, apabila berpeluang menjadi menteri pelajaran di dalam kabinet Mahathir, Anwar mengambil kesempatan untuk memperkenalkan bahasa dan sebutan baku untuk mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Malaysia itu.
 
Pengenalan PPSMI adalah ‘bak orang mengantuk disorongkan bantal’ oleh Mahathir sebagai tanda terima kasih pada bukan Melayu yang tidak mengikut arus politik orang Melayu menolak kepimpinanya kerana “menganiayai” Anwar.
 
Untuk mengukuhkan sokongan rakyat bukan Melayu, dalam proses persempadanan semula, Mahathir secara langsung atau tidak meracik kawasan-kawasan undi majoriti Melayu dengan memasukkan banyak kawasan undi yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu. 
 
Sifir Mahathir ialah, biarlah nanti PAS, parti Melayu alternatif ketika itu, tidak  berterusan memungut kemenangan di kawasan majoriti Melayu kerana faktor undi bukan Melayu akan menjadi penentu. 
 
Bagaimanapun malang bagi cita-cita Mahathir beliau tidak sempat meraih kejayaan yang boleh menebus rekod buruk pilihanraya umum terakhir pimpinannya itu apabila “rasa meluat dan benci” terhadapnya terlalu meluap.
 
Pada 2003, Mahathir terpaksa meletakkan jawatan perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
 
Dalam pilihanraya umum ke-11 pada 2004, dalam memimpin pilihanraya umumnya yang pertama, Abdullah mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah Barisan Nasional.
 
Rupa-rupanya, rakyat Malaysia tidak kira keturunan dan agama mengambil peluang PRU ke-11 untuk “meraikan ketiadaan Mahathir” dalam hidup dan sfera politik mereka dengan memberikan kemenangan besar pada Abdullah.
 
Namun jatidiri perjuangan politik Mahathir ialah kegigihan. Tak dapat tanduk telinga dipulas. Ini telah dipamerkan dalam kembara sunyi dunia politiknya apabila dipecat dari Umno oleh Tunku Abdul Rahman Putra.
 
Untuk mendapat platform menyerang Tunku dan dasar-dasar pemerintahannya, Mahathir sanggup berceramah di atas platform PAS demi melampiaskan pendirian tidak sehaluannya dengan Tunku.
 
Kesunyian kerana tidak dipedulikan oleh masyarakat lagi, Mahathir mula mengorak langkah “memadamkan rekod “cemerlang, terbilang dan gemilang” Abdullah dengan mempertikai dan menyerang prestasi pemerintahannya.
 
Begitu kuat serangan Mahathir terhadap pemerintahan Pak Lah sehingga beliau sanggup mengisytiharkan diri keluar Umno. Akibatnya, lunyailah wibawa Umno dan BN sehingga pembangkang berjaya merampas pemerintahan Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dalam PRU 2008!
 
Mahathir akhirnya mengakui bahawa beliau telah melakukan kesilapan memilih seorang yang dianggapnya ‘baik’ untuk menggantinya kerana ‘si-baik’ itu kemudian memilih seorang yang buruk sifat politiknya sebagai pengganti.
 
Beliau telah meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana kesilapan ini. Namun umum tahu bahawa setelah melumpuhkan rekod cemerlang Pak Lah dalam PRU 2004 Mahathir jugalah “wazir” yang menasihati Pak Lah memilih Najib sebagai pengganti. 
 
Kini apabila pendekatan pimpinan Najib dilihat tidak cenderung pada pemikiran dan kesukaannya, anak bekas Perdana Menteri kedua Malaysia itu dimomokkan sebagai musuh utama Umno, BN dan negara.
 
Kemuncak kempen terbesar Mahathir agar nadi politik Malaysia mesti mengikut degup haluan politiknya ialah apabila beliau mengisytiharkan solidariti dengan Bersih 4 dengan harapan gerakan “kuasa rakyat” ini dapat menggulingkan ‘Marcos Malaysia’.
 
Tidak kiralah jika Gerakan Rakyat kali ini tidak lagi dipimpin oleh orang Melayu dan sebaliknya ditunjangi oleh DAP, yang penting Najib mesti jatuh.
 
Mahathir berharap Muhyiddin Yassin, orang yang menitiskan air mati di bahu Anwar Ibrahim ketika beliau memecatnya 17 tahun dahulu, akan diangkat sebagai pengganti Najib.
 
Mungkin Mahathir mencongak jika Muhyiddin yang berani menunjukkan solidariti perpaduan dengan Anwar boleh “diprogramkan” mengikut pola pemikirannya, beliau yakin mengulangi kejayaan itu lagi.

No comments:

Post a Comment