Sunday, May 17, 2015

Pandikar Amin Kecewa, Kenyataan Mahathir Makan Diri


Reputasi Tun Dr Mahathir Mohamad akan terjejas sekiranya dakwaan beliau bahawa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan, tidak benar.

Dalam tulisan di entri blognya, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam berkata, kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri itu dalam program Bicara Negara di Ipoh pada Sabtu menimbulkan tanda tanya.




Jelasnya, seorang rakan menelefonnya dan bertanyakan mengapa Pandikar memberitahu mantan Perdana Perdana (peletakan jawatan seperti didakwa Dr Mahathir) dan tidak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Seorang kawan segera menalipon saya dan bertanya mengapa dia memberitahu mantan Perdana Tun Mahathir dan tidak memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib?,” tulis Zam.

Dr Mahathir dalam program itu mendakwa, Pandikar telah umumkan meletak jawatan dan Timbalan Speaker mengambil alih sebagai Pengerusi Dewan Rakyat.

“Speaker sudah berhenti. Dia datang jumpa saya dia kata dia hendak berhenti. Dia tak mahu dah.  Sekarang yang jadi pengerusi dewan, dia punya timbalan,” Dr Mahathir dilaporkan berkata.

Sementara itu Pandikar mengakui berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun beliau menegaskan pertemuan itu hanya menyentuh isu politik semasa.

Menurut laporan yang dipetik dari Utusa Online, Pandikar Amin menjelaskan ia bukan perkara pelik kerana beliau menganggap Dr Mahathir sebagai mentornya.

“Ini pertemuan antara pemimpin dan pemimpin. Perbincangan tertentu apa yang terjadi kepada negara. Tetapi apabila beliau kata Speaker berhasrat untuk tidak lanjutkan (letak jawatan), mungkin sebab saya sudah kecewa dengan Parlimen sekarang apabila bersidang banyak perkara remeh dibawa.

“Saya ada kekecewaan. Itu yang saya cetuskan kepada Tun (Dr. Mahathir). Tetapi semalam saya sudah buat kenyataan media, saya tak akan letak jawatan. Tentang bila saya berjumpa Tun, itu kena tanya Tun sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Belud.

Pertemuan itu menjadi isu, apabila Dr Mahathir dalam ceramahnya di Ipoh, Perak dipetik sebagai berkata, Pandikar Amin telah berjumpanya dan memaklumkan meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat.


Beberapa jam selepas berita itu tersebar, Pandikar Amin dalam satu kenyataan media menafikan dakwaan Dr Mahathir dan menegaskan beliau akan hadir pada sidang Dewan Parlimen pada Isnin ini.

No comments:

Post a Comment