Sunday, May 10, 2015

Contoh Pelaburan Yang Buruk Ialah Bila Jual MV Agusta Euro 1


MAAF, penulis tak tahu yang Pemuda UMNO ini sangat mendekati hati rakyat dengan membangkitkan soal pelaburan Tabung Haji di TRX.  Sebab kalau itu kesnya, UMNO tak kalah semua saluran orang muda di Permatang Pauh dan beberapa saluran sama di Rompin.

Yang penulis tahu, Pemuda UMNO hari ini hanya bersifat populis dan mengikut arus viraliti di media sosial semata-mata terutama telunjuk Tun Mahathir.  Mahathir balun 1MDB, begitulah Pemuda UMNO, Mahathir balun Tabung Haji, begitulah juga Pemuda UMNO.

Idea sendiri?  Selain Zumba, hampir tidak ada.  Jawatan Ketua Penerangan pun dah jadi jawatan Ketua Pertanyaan sebab lebih banyak bertanya dari menerang.

Dalam isu Tabung Haji, cakap Pemuda UMNO mengenai pelaburan, begitu bergegar-gegar sekali.  Perdana Menteri nak dikatakan sebagai orang yang tidak faham mengenai pelaburan apabila Tabung Haji membeli tanah dari 1MDB, macam dia faham sangat pasal pelaburan.

Kalau faham, kenapa dulu bila bapa mertuanya jual MV Agusta kepada sebuah syarikat Italy sebanyak Euro 1, dia tak berbunyi?  

Walhal, itu adalah keputusan paling bodoh yang pernah dibuat seorang Perdana Menteri Malaysia (selain urusniaga forex RM 30 billion, peristiwa Memali, Perwaja, BMF dan sebagainya) sebab syarikat yang mengambil alih MV Agusta ini kemudian berjaya menjual sebahagian syarikat tersebut kepada Harley Davidson dengan harga USD 109 juta.

Sebahagian, tak cerita beberapa bahagian lain yang antaranya dijual kepada BMW.

Justeru, pada pendapat penulis, campur tangan Pemuda UMNO dalam soal pelaburan Tabung Haji di TRX itu bukanlah berdasarkan merit tapi atas entah apa agenda politik terselindung sesetengah orang dalam organisasi tersebut.

Pandangan ini adalah berasaskan kepada perkara dibawah:-

1. Pemuda UMNO gagal menjelaskan fitnah Tun Mahathir bahawa pembelian tanah itu adalah cubaan untuk bailout 1MDB.  Dengan apa cara RM188 juta boleh membantu 'menyelamatkan' syarikat yang ada liabiliti RM 42 billion (aset RM52 billion)?  Tak payah pergi Oxford pun boleh tahu.

2.  Pemuda UMNO tidak meminta maaf bila terbukti urus niaga tersebut sebenarnya menguntungkan Tabung Haji (sekurang-kurangnya RM 5 juta) setelah keputusan dibuat untuk menjual tanah tersebut bagi mengelakkan fitnah.  Kalau urusniaga itu merugikan Tabung Haji, bagaimana boleh dapat untung RM 5 juta?  Agaknya berapa banyak juta lagi untung boleh diperolehi Tabung Haji kalau tanah itu dibangunkan mengikut perancangan asal.

3.  Dan kenapa ya, Pemuda UMNO mempertahankan ketuanya lebih dari Presiden dan parti?  Yang terang baik, yang terselindung baik.

Jadi nasihat penulis sebagai ahli UMNO dalam julat umur yang layak dikategorikan sebagai Pemuda, sila nyatakan pendirian sebenar macam anak jantan bukan macam musang berbulukan ayam.  Takkan takut hilang jawatan kot, kata anak jantan.

No comments:

Post a Comment